Pengenalan

ISMA MelakaIkatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang dahulunya dikenali dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia merupakan satu badan NGO yang bergerak aktif berperanan di tengah-tengah masyarakat untuk mengurangkan gejala-gejala sosial di kalangan remaja mahupun golongan dewasa. Program-program yang dilaksanakan menjurus kepada penghayatan kehidupan beragama dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. Dengan misi untuk memberi kesan di dalam masyarakat melalui program-program yang dilaksanakan, ISMA bersungguh-sunguh dalam mencapai matlamat penubuhannya apatah lagi ISMA mempunyai ahli-ahli yang konsisten di dalam melaksanakan usaha-usaha untuk membawa perubahan di dalam masyarakat.

Pada tahun 2007 yang lalu, dengan izin Allah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah melebar luaskan keahliannya dengan kewujudan ISMA di peringkat negeri-negeri. Bumi bersejarah Melaka antara yang tidak terkecuali. Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada tenaga pendokong ISMA Melaka atas kerjasama dan komitmen yang tinggi sehingga penubuhan dan keterusan amal aktiviti ISMA Melaka dapat direalisasikan pada hari ini.

Sebagai salah satu cawangan, ISMA Melaka tekad untuk menggalas misi dan visi ISMA dalam melahirkan generasi harapan agama, bangsa dan negara. ISMA ingin menyuarakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap program-program pembinaan insan yang berpaksikan Islam demi melahirkan generasi yang bukan sahaja  tinggi penguasaan ilmunya, malah terjelma pada generasi ini  budaya kehidupan yang bersih dan sihat. Visi dan misi ISMA Melaka digariskan yang sedemikian agar generasi hari ini menjadi aset penting ummah dan  menjadi nadi penggerak kepada pembinaan negara yang bertunjangkan kepada Islam dan keadilan sejagat.

Dalam konteks kehidupan hari ini yang didominasi perubahan cara hidup, kaedah pemikiran dan cabaran-cabaran global, generasi muslim hari ini perlu memiliki ciri-ciri keunggulan daripada segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan juga teknologi. Perubahan dan evolusi kehidupan yang semakin mencabar hari ini memerlukan generasi yang bersedia untuk memikul harapan bangsa dan negara dalam membawa cabaran negara di hari mendatang.

ISMA Melaka tampil dengan satu gagasan yang didokongi pemuda-pemudi yang tinggi semangat juang mereka dalam usaha untuk memartabatkan bangsa dan negara di persada dunia dengan berpaksikan Islam. Dengan penuh rasa tawadhu’, ISMA Melaka berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh ISMA kepada kami untuk membawa panji ISMA ke bumi Hang Tuah dan membumikan usaha bagi merealisasikan misi kita bersama, Membina Generasi Harapan.

Dengan salam berundur diri.