Kemalangan Nyaris Ragut Nyawa Ahli ISMA
Yong Peng, Johor – 31 Januari 2010: ISMA Melaka dikejutkan dengan berita kemalangan membabitkan 6 orang aktivis ISMA Johor di Lebuhraya PLUS berdekatan Yong Peng lewat malam semalam. MEDIA ISMA yang menemani YDP ISMA Melaka, Ustadz Ahmad Zainal Abidin bergegas ke Hospital Muar awal pagi ini bagi meninjau keadaan mangsa.
Saudara Yazid, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Monash yang kini mengikuti latihan praktikum kedoktoran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bagaimanapun dilaporkan stabil. Seorang lagi aktivis KRIM yang ditempatkan di Hospital yang sama dilaporkan telah keluar awal pagi tadi.
Beliau ketika menceritakan detik cemas kejadian ngeri kepada MEDIA ISMAmelaka, masih sempat melakarkan senyuman seperti sedia kala. Kejadian yang diakibatkan letupan tayar Unser yang dinaiki beliau dan 5 rakan lain menyebabkan kereta yang beliau pandu berpusing dua kali ke kiri dan kanan sebelum terbalik menentang arah jalan. Ketika kejadian, beliau dan rakan-rakan sedang dalam perjalanan pulang dari Konvensyen Pemikiran Hasan al-Banna (KOBANNA 2010) anjuran ISMA. Segala puji ke hadrat Allah kerana masih menyayangi dan menyelamatkan beliau dan rakan-rakan dari kemalangan yang lebih dasyat. Semua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
YDP ISMA Johor, Saudara Tahir Hamdan yang turut sama berada di Hospital Muar ketika liputan dilakukan memuji sikap Yazid yang masih mampu menenangkan rakan yang lain sungguhpun beliau sendiri tercedera. Ini tidak lain tidak bukan merupakan kekuatan jiwa yang tertanam di dalam diri berkat tarbiyyah yang berterusan oleh ISMA Johor. Ustadz Fauzi Asmuni, Nasib Presiden II ISMA turut meluangkan kesempatan menziarahi mangsa bagi menyampaikan salam takziah dari ISMA kepada mangsa sekeluarga.
Saudara Yazid yang mengalami keretakan bahagian jari dan siku kanan serta beberapa kecederaan ringan dikatakan sedang memulakan sessi tazkirah di dalam kereta sejurus memulakan perjalanan selepas berhenti rehat di R&R berdekatan Ayer Keroh, Melaka.
Dalam kejadian itu, 4 lagi mangsa yang lain dimasukkan ke Hospital Batu Pahat dengan seorang masih kritikal bersama seorang yang lain masih ditahan di wad walaupun keadaan mereka dilaporkan stabil. Salah seorang mangsa yang masih ditahan mengalami kecederaan yang agak parah di bahagian kaki manakala rakannya patah tulang bahu, tulang rusuk dan beberapa kecederaan lain. Saudara Zulhelmi, seorang lagi mangsa yang merupakan rakan karib Yazid dan menuntut dalam jurusan yang sama dilaporkan telahpun keluar dari Hospital bersama seorang yang lain. Keluarga mangsa yang ditemui melahirkan perasaan terharu mereka dengan keprihatinan warga ISMA pelbagai lapisan umur yang tidak kunjung putus hadir menziarahi dan mendoakan keselamatan anak mereka.
ISMA Melaka mewakili rakan-rakan ISMA yang lain mengucapkan salam takziah kepada mangsa kejadian dan juga ahli keluarga. Semoga Allah mempercepatkan sembuhnya mangsa-mangsa kemalangan dari kecederaan yang dialami dan dapat menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.
Kepada semua ahli-ahli ISMA mahupun kepada sekalian pengunjung dan pembaca, marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan buat mereka. Moga Allah kurniakan kecekalan kepada mereka dan mereka bangkit sebagai pejuang yang lebih baik!
Dilaporkan oleh,
MEDIA ISMAmelaka.com
Filed Under: Berita • Komuniti ISMA






Robbuna yusahil..
semoga cepat sembuh ya akhi..